TAWAU: Walaupun sudah beberapa kali masuk penjara, seorang lelaki ternyata tidak serik apabila ditahan polis semalam atas kesalahan menceroboh sebuah rumah di Taman Tawau, Jalan Chong Thien Vun, di sini.
Suspek berusia 41 tahun itu juga mempunyai 13 rekod jenayah lampau membabitkan jenayah dan dadah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, polis menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 43 tahun selepas rumahnya diceroboh suspek, pada 2 Julai lalu.
Katanya, hasil siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek masuk ke rumah mangsa, jam 4.22 pagi.
“Suspek bertindak memanjat pagar hadapan rumah untuk mencabut CCTV yang dipasang di bahagian luar rumah mangsa.
“Polis kemudian berjaya memberkas suspek di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, di sini,”katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, modus operandi suspek adalah memasuki mana-mana rumah yang tidak berpenghuni atau ditinggalkan sementara waktu untuk melakukan kegiatan jenayah berkenaan.
Jasmin berkata, suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada melakukan kesalahan pencerobohan jenayah.