Pengedar dadah bawa 3 kilo syabu ditahan


 

LAHAD DATU: Seorang pengedar dadah berdepan hukuman mati selepas didapati membawa tiga kilogram dadah jenis syabu di I-Peak Business Centre Jalan Lahad Datu Tungku, Jumaat lepas.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, suspek berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu.   

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat risikan mengenai pengedaran dadah di kawasan di I-Peak Business Centre. 

Katanya, susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Lahad Datu menjalankan serbuan di lokasi berkenaan.  

“Serbuan berkenaan berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun disyaki pengedar dadah di Lorong I-Peak, di sini.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek terbabit menemukan lapan paket berlainan saiz mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 3,055 gram,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, semua dadah yang dirampas daripada suspek terbabit boleh digunakan oleh kira-kira 15,775 orang penagih di daerah ini.

Katanya, suspek dan dadah yang dianggarkan bernilai RM131,050 di bawa ke IPD Lahad Datu untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Suspek terbabit disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup,” katannya.

Dzulbaharin berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah yang direkodkan IPD Lahad Datu dalam tempoh Januari hingga 8 November ini adalah sebanyak 5,167.86 gram dan dianggarkan bernilai RM178,464.60.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama