Pemandu cedera, dua pacuan empat roda terbabas elak bertembung

Foto ihsan Bomba

 

SEMPORNA: Dua pemandu cedera selepas pacuan empat roda yang dipandu terbabas akibat mengelak daripada bertembung di Jalan Pokas, di sini, tengah malam tadi.

Kedua-dua mangsa lelaki berusia 18 dan 42 tahun itu berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.41 tengah malam.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama dua buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu membabitkan dua buah kenderaan jenis pacuan empat roda.

“Kedua-dua kenderaan terbabit dipercayai terbabas akibat mengelak daripada bertembung sesama sendiri di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Madzlan berkata, terdapat lapan mangsa yang terlibat dan akibat kemalangan itu kedua-dua pemandu mengalami kecederaan, manakala semua penumpang selamat.

“Semua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan kedua-dua mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital.

“Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud, pasukan bomba menamatkan operasi berkenaan pada jam 1.45 pagi,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama