Pasukan Polis Marin rekod rampasan RM210 juta tahun ini

 


LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) merekodkan kejayaan menumpaskan sebanyak 7,103 kes jenayah membabitkan rampasan berjumlah sebanyak RM210 juta dalam tempoh 1 Januari sehingga 31 Oktober ini di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia membabitkan kesalahan jenayah di laut termasuklah aktiviti penyeludupan barang-barang kawalan, minuman keras, rokok dan dadah.

Katanya, PPM turut mengekang kesalahan-kesalahan seperti aktiviti pembalakan tidak sah, penyeludupan hidupan liar darat dan laut, penggunaan bahan letupan dalam aktiviti perikanan, pemerdagangan manusia, migran dan lain-lain kesalahan.  

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Pasukan Polis Marin ke-77 di Markas Operasi PPM Wilayah 4, hari ini.

Menurutnya, pembangunan fasiliti dan aset turut diberi perhatian bagi menambahbaik operasi dan kefungsian PPM yang memainkan peranan penting dalam menjaga kestabilan dan keselamatan perairan.

“Antara fasiliti PPM ialah seperti pembinaan Markas Operasi PPM Wilayah Tiga (3) yang baru di Tok Bali, Kelantan bagi menggantikan Markas PPM Wilayah 3 yang kini berada di Kuantan, Pahang.

“Selain itu, pembinaan Forward Operation Base di Pulau Mabul dan pembinaan Markas Operasi PPM di Muar, Johor,” katanya.

Razarudin berkata, terdapat 12 projek naik taraf, pembaikan dan perolehan baru aset ronda PPM dengan nilaian keseluruhan berjumlah lebih kurang RM618 juta.

“Ia termasuklah perolehan dua buah kapal Police Transport (PT) baharu yang akan berfungsi sebagai kapal pengangkut barang dan juga mothership untuk kegunaan operasi dan latihan PPM, 

“Perolehan 10 buah Police Strike Craft, Rigid Hull Assault Boat dengan kapasiti full cabin bagi kegunaan operasi dan penguatkuasaan undang-undang jangka pendek di perairan negara yang lebih berkesan.

“Kita turut memperoleh lima buah Fast Patrol Craft dan perolehan penggantian 214 unit enjin sangkut untuk bot kelas PSC/RH dan PAC,” katanya. 

Di samping itu, katanya terdapat juga projek naiktaraf dan baik pulih 10 buah Fast Patrol Vessel serta tujuh projek penambahbaik, naik taraf dan perolehan aset-aset yang lain untuk PPM sedang dalam proses tender dan penyediaan spek.

Razarudin berkata, PPM juga sentiasa menjalinkan hubungan kerjasama dengan agensi penguatkuasa antarabangsa dalam memperkukuhkan jaringan keselamatan.

“Pelbagai aktiviti dilakukan bersama seperti rondaan terkoordinasi, operasi, latihan maritim, pertukaran dan perkongsian maklumat jenayah rentas sempadan.

“PPM tetap menjadi tonggak dan pasak supaya keamanan perairan negara sentiasa terpelihara dan rakyat dapat menikmati kemakmuran berterusan.

“Dengan bukti kejayaan yang diperolehi, saya berharap agar PPM menjadi salah sebuah agensi penguatkuasaan maritim yang terbaik dalam kalangan yang terbaik di dunia,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama