Gagasan Rakyat sedia beri peluang calon muka baharu, wanita PRN Sabah


KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sedia memberi peluang kepada muka baharu dan wanita sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan datang.

Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Gagasan Rakyat akan mempertimbangkan sekiranya ada calon muka baharu yang boleh diketengahkan untuk mewakili parti.

Katanya, setakat ini belum ada senarai nama calon yang telah diputuskan untuk bertanding dan ia masih dalam perbincangan pucuk pimpinan.

“Semua calon-calon yang akan dipilih memerlukan pernilaian teliti daripada presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan pucuk pimpinan lain.

“Kita yakin bahawa semua calon-calon yang diketengahkan adalah mereka yang layak dan mampu menjadi pemimpin dengan baik,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata demikian ketika ditemui selepas seminar penerangan sempena Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat, di sini semalam.

Mengulas lanjut, katanya, calon-calon daripada Gagasan Rakyat perlu menjadi wakil dan sedia meneruskan agenda perjuangan parti dalam membela rakyat serta memajukan Sabah.

Sementara itu, Nizam berkata, Gagasan Rakyat tetap dengan pendirian untuk memberikan keutamaan terhadap kerjasama kepada rakan parti tempatan di Sabah.

“Namun, kita juga perlu menjaga hubungan baik dengan parti-parti lain yang datang dari semenanjung,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama