TAWAU : Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Allahyarham Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, mungkin boleh diselamatkan jika segera di hantar ke hospital untuk mendapat rawatan.
Perkara itu dimaklumkan Dr. Dzureena Abdul Mutalib, 39, yang bertugas di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tawau, ketika menyambung keterangannya pada perbicaraan hari kelima, hari ini.
Beliau yang juga saksi kelima pendakwaan berkata, jika si mati rujuk ke hospital lebih awal pemulihan dan rawatan agresif boleh dilakukan termasuk rawatan sokongan membabitkan pelbagai bidang kepakaran termasuklah rawatan oleh pakar perubatan kecemasan, pakar perubatan, dan pakar buah pinggang.
Sebelum itu, Dzureena turut bersetuju dengan cadangan oleh peguam Mohamed Zairie Zainal bahawa si mati boleh diselamatkan sekiranya diberikan rawatan segera dalam tempoh tiga hingga empat jam selepas kecederaan dialaminya.
"Selepas kecederaan dialami oleh si mati, jika dia dibawa ke hospital dengan segera dan menerima rawatan agresif serta resusitasi, ada kemungkinan dia boleh diselamatkan memandangkan si mati masih muda dan sihat," tambahnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan mangsa turut mengalami kecederaan pada bahagian alat sulit (scrotum) akibat ditendang, ditumbuk, atau kesan dengan objek tumpul atau kombinasi perbuatan berkenaan yang berkemungkinan dilakukan individu atau sekumpulan orang.
Perbicaraan membabitkan 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun yang dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung esok.