Tony Fernandes teruja rakam gambar kenangan di bangunan Maybank tular dalam kalangan pelancong

 

Tony turut tidak ketinggalan merakam kenangan di lokasi yang kini tular di kalangan pelancong China

KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif Capital A merangkap Penasihat Strategik AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes tidak melepaskan peluang merakamkan gambar kenangan di perkarangan Maybank cawangan Jalan Gaya berikutan menyedari bangunan itu kini menjadi tumpuan terkini dalam kalangan pelancongan luar negara sehingga tular di media sosial

Walaupun bangunanan bank berkenaan sudah tidak beroperasi namun lokasi terbabit semakin popular selepas beberapa gambar pelancong dikongsikan dalam satu aplikasi perkongsian gambar di negara China dikenali sebagai Little Red Book baru-baru ini. 

Tony yang berada di Kota Kinabalu bagi mengadakan pertemuan bersama Lembaga Pelancongan Sabah (STB), pada Selasa, meluangkan masa mengunjungi lokasi itu. 

Menurut Tony, beliau sedia maklum mengenai tentang lokasi tular dalam kalangan pelancong China berikutan sohor (trending) di laman sosial Instagram. 

"Saya bangun pagi tadi dan melihat tempat ini menjadi tular di laman media sosial Instagram. 

"Mulanya saya tidak memahami punca lokasi menjadi tular secara tiba-tiba. 

"Bagaimanapun, kini saya sudah faham ia ada nilai tersendiri bagi mereka yang mahu merakamkan gambar. 

"Jika ia boleh mempromosikan Sabah, mari kita terus menjadikan tempat ini tular. Ia bagus untuk ekonomi dan industri pelancong Sabah," katanya. 

Tony berkata demikian ketika ditemui media selepas merakamkan gambar kenangan di bangunan Maybank cawangan Jalan Gaya pada Selasa.

Sementara itu, berkongsi tentang pertemuan bersama STB, Tony menzahirkan terima kasih kerana AirAsia diberikan pengiktirafan Anugerah Penghargaan Pelancongan Sabah daripada STB atas sumbangan kepada industri pelancongan Sabah.

Anugerah terbabit disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai.

"Usaha AirAsia telah membawa manfaat besar kepada negeri Sabah dari segi peningkatan ketibaan pelancong hingga penciptaan pekerjaan dan rangsangan ekonomi tempatan. 

"Kita berharap dapat terus bekerjasama dengan mereka di masa hadapan," katanya.

Sepanjang rekod 20 tahun, seramai 80 juta penumpang yang telah keluar dan masuk ke Sabah melalui penerbangan AirAsia.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama