Remaja warga asing mengaku tidak bersalah bunuh teman wanita


 

Tidak mengaku bersalah bunuh teman wanita

TAWAU: Seorang remaja lelaki warga asing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh teman wanitanya yang berusia 13 tahun di Mahkamah Tinggi, di sini, pada Selasa.

Pengakuan tidak bersalah itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berusia 14 tahun didakwa menyebabkan kematian mangsa yang juga warga asing di sebuah ladang di Jalan Kalabakan antara pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, 4 Januari 2023 lalu.

Justeru itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 24 kanun sama yang memperuntukan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah seterusnya menetapkan tarikh perbicaraan kes yang akan berlangsung pada 10 hingga 14 Februari 2025.

Dalam prosiding yang sama, mahkamah turut dimaklumkan seramai tujuh orang saksi pendakwaan akan dipanggil sepanjang perbicaraan berlangsung.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana manakala tertuduh diwakili peguam Liew Hon Min.

Terdahulu, dilaporkan mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terikat dan kesan kecederaan di kepala di dalam sebuah parit di ladang berkenaan pada Januari tahun lalu.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama