![]() |
Christna (duduk, tengah) semasa kunjungan hormat |
KOTA KINABALU: Persidangan Persatuan Global Longchuan ke-7 merangkap Persidangan Pelaburan Pembangunan Industri Longchuan akan diadakan di sini bermula dari 7 hingga 9 September ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew telah dijemput menjadi tetamu kehormat pada majlis jamuan alu-aluan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada 8 September.
Christina memuji penganjur atas kejayaan mereka mengadakan persidangan itu dihoskan buat kali pertama di luar China.
"Ini adalah usaha yang sangat bagus dan pertama kalinya dihoskan di luar China," katanya.
Semasa kunjungan hormat kepada Christina oleh delegasi pada Khamis, Presiden Persatuan Longchuan Persekutuan Malaysia, Peter Chong Su Leong berkata acara itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Longchuan Persekutuan Malaysia dan Persatuan Longchuan Sabah Bersatu.
"Kira-kira 2,000 delegasi dan peserta Longchuan dari Malaysia khususnya Sabah, China dan seluruh dunia, serta pemimpin dan pegawai dari Daerah Longchuan, China akan menyertai acara itu," kata Chong yang juga Presiden Persatuan Longchuan Sabah Bersatu.
Hadir sama dalam kunjungan itu ialah ahli Jawatankuasa Persatuan Longchuan Persekutuan Malaysia yang lain terdiri daripada Timbalan Presiden Linah Thien Fook Kiaw, Naib Presiden Chung Kiam Fui, Penolong Setiausaha Ho Chi Hin, dan Ahli Jawatankuasa Yong Ket Leong, Yong Vin Leong dan Yong Thau Hung serta Ahli Jawatankuasa Persatuan Longchuan Sabah Bersatu Janet Chong dan Vincy Chong.