Perkukuh dakwah komuniti Islam, libatkan orang muda: Nizam

Nizam (dua dari kanan) bersama ahli jawatankuasa USIA Bahagian Tawau



TAWAU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyeru semua pihak khasnya komuniti Islam untuk memperkukuh aspek dakwah sekaligus memperbanyak penglibatan orang muda.

"Saya saran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Tawau untuk mantapkan dakwah untuk komuniti Islam di sini.

"Jadikanlah Masjid Raya Tawau sebagai hub untuk aktiviti dakwah dan kegiatan Islam, sekaligus mengimarahkan amalan di rumah ibadat yang mulia ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan USIA Bahagian Tawau kali ke-36 di Dewan Tun Mustapha Masjid Bandar Raya Tawau, di sini pada Sabtu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas itu juga, beliau yakin dengan kepimpinan dan pengalaman peneraju USIA Bahagian Tawau dan sentiasa menyokong segala usaha dan kegiatan keagamaan untuk manfaat komuniti tempatan.

"Saya yakin, USIA bahagian ini dapat realisasikan hasrat USIA secara am dan khususnya untuk terus maju dalam membawa syiar Islam dalam komuniti masyarakat.

"Saya juga yakin, usaha-usaha yang dibuat oleh USIA juga seiring dengan perkembangan semasa dan teruskan segala perancangan yang relevan," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Nizam juga mengajak golongan anak muda untuk melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai aktiviti keagamaan sekaligus menjadi pelapis yang bakal meneruskan usaha USIA.

"Usaha menyebarkan dan menguatkan dakwah Islam perlu dilaksanakan oleh semua pihak, tidak terkecuali anak muda kita yang esok lusa akan menjadi pelapis penerus dan menjaga kesucian Islam, insyaAllah.

"Teruskan usaha dakwah hingga ke peringkat akar umbi dan saya lihat usaha seumpama ini perlu diteruskan, bukan untuk USIA sahaja, tetapi apa-apa sahaja organisasi," katanya lagi.

Nizam turut menyeru semua pihak untuk bekerjasama dan menjada ukhwah perpaduan dalam komuniti masyarakat majmuk.

“Usaha seumpama ini harus dipertahankan kerana kejayaan sesebuah organisasi apa lagi organisasi yang berbentuk dakwah persatuan perpaduan dan juga kerjasama itu harus sentiasa ada,” katanya.

Selain itu, Nizam yang juga merupakan Naib Yang Dipertua USIA turut menasihatu aemua ahli jawatankuasa USIA Bahagian Tawau untuk mengekalkan silaturahim dan bekerja dalam sebuah kumpulan yang harmoni.

"Terus kekalkan semangat kekitaan dan persahabatan yang terjalin, sekaligus berikan sokongan kepada barisan jawatankuasa baharu yang dilantik.

"Jika tiada yang lama maka tiada yang baru, begitulah kita saling membantu," jelasnya lagi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama