TAWAU: Lapan individu termasuk seorang warga emas ditahan polis dalam satu serbuan yang dibuat ketika mereka sedang leka bermain judi sabung ayam, sekitar pukul 12.50 tengah hari, pada Sabtu.
Serbuan yang dibuat di lokasi sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Tawau-Kunak itu dilakukan kerana dipercayai menjadi sarang perjudian bagi daerah tersebut.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisen Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan itu dilakukan oleh sebuah pasukan pegawai dan anggotanya daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
"Dalam serbuan yang dibuat oleh pegawai anggota, lapan ekor ayam yang dipercayai digunakan bagi tujuan judi laga ayam gelanggang dirampas.
"Selain itu, peralatan laga ayam dan RM1,000 wang tunai juga dirampas ketika itu," katanya dalam sebuah kenyataan media di sini pada Ahad.
Menurut Jasmin lagi, kesemua yang ditangkap adalah terdiri daripada lima lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing, berusia dalam lingkungan 25 tahun hingga 71 tahun.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Orang ramai diberi amaran dan tindakan tegas akan mengambil jika terlibat dalam sebarang aktiviti perjudian seumpamanya," ujar beliau lagi.