P-hailing 'palsu' ditahan edar ketum, vape dadah di Sandakan

Rampasan yang dibuat oleh pihak polis


SANDAKAN: Taktik menyamar sebagai penghantar makanan atau p-hailing bagi mengedarkan air ketum dan cecair rokok elektronik (vape) disyaki berisi dadah, itu modus operandi seorang penjenayah narkotik sebelum berjaya diberkas polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, pada Jumaat lalu. 


Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K. Ramasamy berkata, suspek warga tempatan berasal dari pantai timur Semenanjung Malaysia berumur 42 tahun, sudah berkahwin dan memiliki lima orang anak itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari. 


Menurutnya, lelaki itu diberkas di sebuah rumah di Taman Tai Fai Yen, Sandakan, ketika sedang memproses air ketum. 


"Sebaik penahanan dibuat, polis berjaya merampas 82 botol plastik lutsinar anggaran isipadu keseluruhan 123 liter disyaki air ketum, enam bungkusan plastik

lutsinar saiz besar dengan anggaran isipadu keseluruhan lebih 102 liter. 


"Enam bungkusan plastik lutsinar berisi serbuk ketum anggaran berat keseluruhan 7.85 kilogram, peralatan memproses dan menyimpan air ketum turut dirampas. 


Enam plastik lutsinar berisi serbuk ketum turut dirampas

"Selain itu, sebanyak 227 botol cecair vape pelbagai jenama dan saiz yang disyaki mengandungi dadah turut ditemui disyaki milik suspek," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad. 


Ramasamy berkata, siasatan lanjut mendapati suspek menjalankan aktiviti

memproses air ketum sejak dua tahun yang lalu dan pernah beberapa kali ditangkap polis atas kesalahan yang sama.


"Modus operandi suspek dengan  menjalankan aktiviti ketum iaitu dengan memproses dan menjual sendiri air ketum kepada pelanggan tetap dengan

menyamar p-hailing untuk menghantar bekalan air ketum dan cecair vape bagi mengaburi mata pihak polis.


"Tangkapan sudah bawa ke Mahkamah Sandakan untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan berjaya memperolehi selama empat hari bermula 17 Ogos 2024 sehingga 20 Ogos 2024.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952

dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya. 




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama