![]() |
Pemuda disyaki cuba seludup petrol ke negara jiran berdepan denda atau hukuman penjara |
SEMPORNA: Seorang lelaki berusia 26 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Tawau di atas kesalahan berurusan barang kawalan minyak petrol sebanyak 2,080 liter di dalam 70 jerikin secara runcit atau borong tanpa lesen.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna, Dr. Jong Jee Leong berkata pertuduhan itu dibaca di hadapan Hakim, Ahmad Faizadh Yahaya.
"Pemuda itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
"Hakim telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM 20,000 dan jika gagal bayar maka hukuman penjara enam bulan dikenakan kepada tertuduh, Abdullah Asadan (Sijil Lahir No.Siri 769/98)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini petang Rabu.
Menurut Jong, pendakwaan bagi kes itu telah dijalankan oleh beliau, mewakili pihak KPDN selepas tangkapan kes dilakukan di kawasan Perairan Singgah Mata, Pulau Bum Bum oleh anggota polis dari Balai Polis Bum Bum.
"Kes kemudian diserahkan kepada pihak KPDN untuk siasatan lanjut.
"Semasa tangkapan, pemuda itu memiliki barang kawalan berupa minyak petrol sebanyak 2,080 liter di dalam 70 jerikin di dalam bot kayu berwarna kelabu belang merah dan disyaki beliau cuba membawa barang kawalan tersebut menuju ke negara jiran iaitu ke Sitangkai, Filipina," jelasnya lagi.
Katanya, tertuduh didapati tidak memiliki sebarang lesen atau kebenaran berhubung minyak petrol yang dimiliki.
"Di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta," katanya.
Beliau menegaskan bahawa KPDN cawangan Semporna tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti yang melibatkan barang kawalan.
"Kita tidak akan berkompromi dan akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di daerah ini," ujar beliau lagi.