![]() |
Momen indah Eidelweiss bersama keluarga dan rakan-rakan yang menyambut ketibaannya di KKIA |
"Tidak jadi wakil Sabah, saya tetap bawa pulang emas walaupun bersama Sarawak," ringkas kata-kata Eidelweiss Franzel Francey Sami ketika ditemui pemberita Sayang Sabah semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), pada Selasa malam.
Atlet karate kelahiran Penampang itu meraih pingat emas dalam acara Kumite wanita lebih 68 kilogram di Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-21 di Sarawak.
Eidelweiss menzahirkan rasa gembira dan syukur atas kejayaan pertama kalinya bagi penyertaan sulung di Sukma kali ini.
![]() |
Penampilan sulung yang membanggakan |
"Saya berjaya bawa pulang emas dalam temasya Sukma yang pertama kali saya sertai, walaupun sebagai wakil Sarawak.
"Saya tidak menyalahkan Sabah kerana tidak memilih saya, tetapi saya bersyukur Sarawak memberi peluang untuk bertanding dalam kategori wanita lebih 68kg.
"Sabah sudah mempunyai wakil dalam kategori saya, iaitu bawah 68kg, jadi saya bertanding untuk Sarawak," jelasnya.
Eidelweiss turut berkongsi pengalaman beliau dan memberitahu bahawa dia juga bertemu atlet yang mewakili Sabah dan gembira kerana dapat bersaing bersama dalam acara yang mereka sertai.
"Saya telah berkecimpung dalam sukan karate selama 10 tahun, dan penyertaan Sukma ini adalah pencapaian yang tidak akan saya lupakan selamanya.
"Saya juga bercadang untuk terus menyertai kejohanan karate yang akan datang kerana saya percaya, sebagai seorang atlet, keyakinan diri adalah yang penting," tambahnya lagi.
Atlet muda itu turut berkongsi pesanan dan tips kejayaan yang diamalkannya selama berkecimpung dalam bidang sukan.
![]() |
Berkongsi kegembiraan bersama rakan-rakan atlet |
"Kita mesti ada kesedaran dan sentiasa berterima kasih kepada jurulatih, keluarga, rakan, dan semua yang sentiasa menyokong usaha kita kerana tanpa sokongan mereka, pastinya semangat juang kita tidak sebesar yang kita peroleh," katanya lagi sambil mempamerkan senyuman manis kepada semua yang turut hadir menyambut ketibaannya di KKIA.
Eidelweiss turut menyatakan hasrat untuk menyertai pasukan karate kebangsaan dan menjadikan Olimpik sebagai misi dan impian yang ingin dicapai dalam karier sukannya.