Maritim Malaysia tahan bot penumpang lebih muatan

Bot bersama juragan ditahan, bawa lebih muatan penumpang di Kota Kinabalu


KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah bot kerana membawa lebih muatan penumpang.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, Bot Peronda Maritim Malaysia KILAT 39 mengesan dan menahan bot penumpang itu semasa sedang melaksanakan rondaan dan operasi OP Preventive SAR.

"Kita telah mengesan dan menahan bot penumpang tersebut di Perairan Kota Kinabalu iaitu pada jarak lebih kurang 0.56 Batu Nautika Selatan Pulau Mamutik, Sabah.

"Hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati selain nombor pendaftaran pada badan bot tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan, nombor siri enjin juga tidak sama seperti yang tercatat dalam lesen," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini pada Isnin.

Menurut beliau, bot penumpang itu ditahan bersama juragan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sepanggar untuk siasatan lanjut.

"Nilai keseluruhan rampasan ini dianggarkan berjumlah hampir RM80 ribu.

"Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia," katanya lagi.


Beliau turut menyeru orang ramai untuk menghubungi pihak Maritim Malaysia jika mempunyai sebarang maklumat berkenaan aktiviti jenayah laut.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat berkenaan salah laku atau aktiviti jenayah di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088387774 atau talian kecemasan NG999 yang beroperasi 24 jam," ujarnya.





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama