![]() |
Japlin(tengah, lima dari kanan) merakam kenangan bersama Sabin (tengah, enam dari kanan) selepas acara berlangsung |
KOTA KINABALU: Identiti warisan bangsa dan budaya masyarakat tempatan khasnya perlu dipelihara dan dikekalkan oleh semua pihak, bagi memastikan kelangsungan etnik peribumi kekal diketahui oleh generasi baharu.
Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Samah Sabah, Datuk Japlin Akim berkata kerancakan mengejar perkembangan pesat ekonomi dan teknologi semasa tidak boleh dijadikan alasan untuk semua pihak meneruskan usaha melestarikan imej tradisi dan budaya tempatan.
"Selain usaha kita yang rancak membangunkan negeri, kita tidak boleh ketepikan tanggungjawab dan mengabaikan kepentingan adat dan budaya kita.
"Ini kerana budaya merupakan aspek penting dalam kehidupan kita yang melambangkan identiti sesuatu bangsa, suku kaum dan etnik untuk terus dipelihara dan dimartabatkan untuk kepentingan kita dan generasi akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Program Persembahn Kesenian dan Kebudayaan Pelbagai Etnik
anjuran Persatuan Rumpun Bajau Samah cawangan Bandaraya Kota Kinabalu di Lintasan Deasoka Gaya Street, pagi Ahad.
Menurut Japlin, usaha untuk mempertahankan identiti budaya dan tradisi itu perlu diteruskan dari semasa ke semasa dan tidak boleh dipandang remeh.
“Perjuangan mempertahankan identiti kita harus diteruskan demi keperluan generasi akan datang. Generasi muda tidak boleh tunduk kepada kepuasan mengejar teknologi dan budaya luar sahaja tetapi kita mesti semaikan dalam diri mereka tentang tanggungjawab memelihara semua ini untuk generasi akan datang.
"Generasi muda perlu mempertahankan keunikan budaya yang ada sebagai teras kepada keharmonian kaum sejak dahulu lagi dan tidak boleh menganggap resam nenek moyang lama sebagai perkara lapuk dan tidak perlu diteruskan lagi,” katanya lagi.
Beliau juga menzahirkan harapannya supaya persatuan itu dapat terus memelihara dan memartabatkan budaya khasnya dalam usaha mengekalkan semangat perpaduan dan keharmonian sesama kita.
"Saya yakin, kunci kepada penyatuan semua adalah perpaduan, toleransi, menghormati dan mempunyai pendirian utuh dalam meneruskan liku-liku cabaran era globalisasi kini.
“Menerusi perpaduan dan kesatuan rakyat yang berbilang suku kaum dan etnik, kita akan dapat memacu transformasi pembangunan negeri ke tahap kejayaan yang lebih tinggi,” katanya.
Tambah Japlin lagi, program kesenian dan kebudayaan telah mulai diadakan sejak tahun 2022 dan tahun ini merupakan program kebudayaan kali ke-3 diadakan.
"Program setiap tahun dinamakan Pesta Kebudayaan berlangsung pada bulan Februari.
"Di Kampung Unggun Jaya sudah ada mini dewan Bajau Samah untuk membuat program kebudayaan.
"Sempena bulan kemerdekaan, program kesenian dan kebudayaan ini boleh dijadikan contoh teladan khasnya kepada industri pelancongan kerana ramai pelancong yang datang berkunjung ke Sabah terutama di Lintasan Deasoka" katanya.
![]() |
Sabin (kiri) merasmikan acara |
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah.
Hadir sama dalam acara itu ialah Pengerusi Persatuan Rumpun Bajau Samah cawangan Bandaraya Kota Kinabalu Shamsuddin Awang Aman, Timbalan Masri Mansor Naib Pengerusi Mohd Syum Majid, Setiausaha Awang Ali, Bendahari Johan Walit dan Ketua Penerangan Madsa Awang Aman.