![]() |
Nizam ketika ditemui pemberita |
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kawasan Apas, kini sudah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, dan jenteranya fokus dan kerja keras bagi 'menghadiahkan' kerusi kepada GRS
"Kita mahu 'hadiahkan' kerusi DUN Apas untuk memastikan kemenangan dan kejayaan kerajaan GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tidak lama lagi.
“Gerak kerja yang mantap dari akar umbi bersama pasukan menyaksikan sambutan terhadap Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diterima baik oleh masyarakat di kawasan DUN Apas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir dalam majlis perjumpaam bersama Ketua Pemuda, Beliawanis dan Penerangan bahagian Kuamut dan Lamag di sini pada Selasa malam.
![]() |
Nizam (duduk, tengah) merakam kenangan semasa perjumpaan |
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat itu juga memberitahu bahawa Bahagian Apas sentiasa menerima kemasukan ahli baru dan Gagasan Rakyat diterima baik oleh rakyat di kawasan itu.
"Setakat ini bagi Bahagian Apas sahaja kita ada lebih daripada 10,000 ahli Gagasan Rakyat dan kita mempunyai 183 cawangan.
"Alhamdulillah, rakyat di peringkat akar umbi baik orang lama mahukan golongan belia rata-rata untuk bahagian saya ini, saya nampak mereka memberikan sambutan dan menerima parti kita.
"Saya mengalu-alukan dan amat menggalakkan semua pihak untuk turut sama dalam perjuangan kita di Gagasan Rakyat," katanya lagi.
Dalam pada itu, Nizam juga memberitahu bahawa beliau sentiasa menerima permintaan untuk menubuhkan cawangan baru dan menerima permohonan keahlian, termasuk daripada ahli-ahli parti lain.
Nizam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah turut menyangkal dakwaan presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal bahawa ramai ahli yang menyertai parti Warisan di Tawau, Kudat dan Sandakan.
Shafie berkata demikian dalam satu laporan media selepas menghadiri Jelajah Presiden Warisan Bagi Parlimen Sepanggar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai pada Ahad.
“Setakat ini saya melihat ramai yang keluar dari Parti Warisan dan ingin menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah.
“Ini adalah kenyataan dan terbukti cawangan Gagasan Rakyat yang kita tubuhkan di kawasan Apas sendiri, ramai yang masuk daripada parti itu.
"Apa-apapun, semoga usaha jentera Gagasan Rakyat di Bahagian Apas sentiasa konsisten dan kita dapat merealisasikan misi kejayaan untuk 'menghadiahkan' kerusi DUN Apas kepada kerajaan, insyaAllah," ujar beliau lagi.