Bayi terkorban nahas kemalangan jalan raya bersama keluarga



Keadaan kereta Proton X50 yang bertembung dengan Toyota Hilux dalam sebuah kemalangan jalan raya di Kinabatangan, tengah malam Rabu



KINABATANGAN: Seorang bayi menemui ajal di tempat kejadian apabila sebuah nahas kemalangan jalan raya berlaku melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bertembung dengan sebuah Proton X50 di Jalan Kampung Paris 2, Kota Kinabatangan tengah malam tadi.


“Selepas menerima sebuah panggilan kecemasan (MERS999) pada pukul 12.38 tengah malam tadi, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan segera dikejarkan dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 1:34 pagi.


“Kami tiba dan dapati enam mangsa terlibat dalam kemalangan itu,” kata Komander operasi, PBK II Mohd Nor Azmil bin Mat Shor Nasir dalam sebuah kenyataan media di sini pada pagi Rabu.


Tambah beliau, kesemua enam mangsa tersepit dalam Proton X50.


“Pasukan bomba bertindak keluarkan mangsa, seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak ambulan untuk dihantar ke hospital berdekatan bagi tujuan rawatan selanjutnya. 


“Seorang mangsa bayi disahkan meninggal dunia dilokasi oleh pihak KKM, seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya lagi.


Menurut beliau, mangsa kemalangan dikenal pasti sebagai Mohd Juazri Jufri, Jamdeh Jalehani, Roziana Aliskal, Ranizah Aliskal dan Aliskal Basara cedera parah dalam kejadian itu, manakala identiti bayi dipercayai sebagai hubungan kekeluargaan.


“Operasi menyelamat ditamatkan pada pukul 4.15 pagi,” ujar beliau lagi.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama