![]() |
Angkatan Maritim Malaysia berusaha menjalankan operasi menyelamat |
SEMPORNA: Dua penumpang warga Filipina dikhuatiri lemas apabila bot yang dinaiki mereka dilanggar oleh sebuah bot lain di Perairan Pulau Sebangkat pada pagi Selasa.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (OP CARILAMAT) dan mengatur gerak Bot Bangi 11 dan Bot Adal 18 dari Zon Maritim Semporna ke lokasi kejadian bagi misi menyelamat mangsa sebaik menerima maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
"Berdasarkan maklumat yang diterima, bot yang dinaiki empat orang mangsa dikatakan keluar ke laut pada 5 Ogos pukul 5 petang sebelum bot mereka dilanggar oleh sebuah bot lain di perairan berkenaan.
"Sementara itu, individu yang melanggar bot mangsa telah melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan media di sini, pada Khamis.
Dua penumpang yang dikhuatiri lemas dan masih dicari dalam usaha menyelamat dikenali sebagai Rommek Tura, dan Jimal, manakala, dua lagi mangsa terselamat dikenali sebagai Bocoi dan Reymar.
Kesemua mangsa adalah lelaki, berumur 30 tahun.
"Mangsa bernama Reymar mengalami kecederaan di lengan, lutut serta belakang badan dan telah mendapatkan rawatan di wad kecemasan Hospital Semporna," jelasnya.
Dalam pada itu, Amir berkata, memasuki hari ketiga pencarian, OP CARILAMAT kini diperluaskan kepada lima sektor dengan penambahan radius kawasan kepada 27 batu nautika persegi.
"Selain Maritim Malaysia, operasi ini turut dibantu oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Taman-Taman Sabah," ujar beliau lagi.