Cubaan bunuh diri gagal, mangsa cedera bahu kiri

 

Mangsa cedera di bahagian bahu kiri

SANDAKAN: Cubaan bunuh diri seorang lelaki berusia 33 tahun terjun bangunan dari tingkat satu, Hospital Duchess of Kent Sandakan gagal dan menyebabkan mangsa cedera di bahu kirinya.


Komander Operasi, PBK I KUP Rosemidian Majid berkata identiti mangsa dikenali sebagai Pajri Juwaidi Jahrin, telah membuat percubaan bunuh diri dan cuba melarikan diri dengan melompat ke kompresor pendingin hawa, di luar bangunan.


“Semasa mangsa cuba melompat keluar, pasukan penyelamat berjaya menangkap mangsa dan dia mengalami kecederaan di bahagian bahu kiri.


“Pihak kami terdahulu menerima panggilan pada pukul 2.56 petang Rabu dan tiba di lokasi menyelamat pada pukul 2.59 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu petang.


Tambahnya lagi, operasi menyelamat itu melibatkan sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Sandakan) bersama 15 anggota polis, 12 anggota RELA, dua anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


“Operasi menyelamat terkawal pada pukul empat petang dan tamat pada pukul 5.26 petang.


“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama