Saliran Parit Tersumbat Punca Banjir Kilat Di Tawau




TAWAU:
Saliran parit tersumbat dipercayai antara punca beberapa kawasan di daerah ini dinaiki air susulan hujan lebat yang berterusan selama tiga jam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julis John Stephen Jr berkata, pihaknya menerima beberapa panggilan dari orang awam mengenai kawasan mereka dinaiki air.

Katanya, antara panggilan diterima pihaknya berkaitan banjir kilat ini di kawasan bulatan Fuji Mart dan Taman Capital kira-kira jam 4.57 petang.

“Seramai lima anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi untuk membuat pemantauan dan setakat ini tidak ada operasi pemindahan mangsa dijalankan.

“Banjir kilat tersebut dipercayai berpunca daripada saliran parit yang tersumbat mengakibatkan air melimpah ke jalan raya tetapi kenderaan masih boleh melalui di kawasan tersebut,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Julis berkata, hasil pemantauan di kawasan banjir menunjukkan keadaan paras air semakin surut dan operasi ditamatkan pada jam 5.49 petang.

Sementara itu, berdasarkan tinjauan, kawasan Batu 2, Jalan Bunga Raya juga turut dinaiki air sehingga laluan kediaman orang kampung.

Kira-kira jam 3 petang, kawasan itu sudah dilanda banjir kilat, namun kereta masih boleh melalui jalan ke kediaman mereka.

Sumber : Utusan Borne0


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama