Terima Mesej Rakan Serumah Mahu Membunuh Diri

 



KOTA KINABALU: Seorang lelaki terkejut sebaik mendapat mesej melalui aplikasi Whatapps yang mengatakan rakan serumahnya ingin membunuh diri.

Tanpa membuang masa lelaki itu kemudiannya menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pada jam 8.43 pagi.

“Bertindak dengan maklumat, sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan operasi penyelamatan.

“Maklumat awal memaklumkan pemanggil yang juga rakan serumah mangsa menerima gambar melalui aplikasi Whatapps berkenaan cubaan membunuh diri dari rakannya yang berumur 27 tahun itu,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata sebaik ketibaan pasukan bomba di lokasi, tiada mangsa ditemukan di dalam rumah berkenaan.

“Pihak bomba hanya menemukan sehelai nota dan kain yang diikat pada kipas serta jeriji besi.

“Pasukan bomba kemudiannya menyerahkan kes kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah operasi keseluruhan ditamatkan jam 9.38 pagi.

Sumber: Utusan Borneo


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama