Peruntukan Projek Lampu Jalan RM8.26 Juta Di Sabah


KOTA KINABALU
: Lebih 1.2 juta penduduk di negeri ini menerima manfaat hasil pelaksanaan dua projek membabitkan Lampu Jalan Kampung (LJK) dan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang diperuntukkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

"Secara keseluruhannya sebanyak 49,856 LJK dipasang di kawasan luar bandar seluruh Sabah yang memberi manfaat kepada kira-kira 1.2 juta penduduk negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Program Pemasangan LJK 2019/2022 Fasa 10 dan Projek BELB Janakuasa Diesel Secara Berpusat PSK Kampung Litang dan Kampung Balat di sini hari ini.

Ramlan berkata, Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) dilantik sebagai kontraktor projek berkenaan membabitkan projek LJK bermula 7 Januari 2020 dan siap sepenuhnya pada 8 Disember 2021 manakala, projek stesen janakuasa dimulakan pada 9 Mac 2022 dan berjaya disiapkan lebih awal iaitu 28 Julai 2022 berbanding tarikh siap asal iaitu pada 8 September 2022.

"Bagi Projek BELB Janakuasa Diesel, selepas enam tahun projek siap, terdapat beberapa kerosakan yang berlaku berikutan dengan 'wear and tear' dan kerosakan akibat gangguan hidupan liar. Justeru, pihak SESB melaksanakan pembaikan dengan kos kontrak sebanyak RM2.3 juta.

"Program Pemasangan LJK Fasa 10 di Sabah ini secara keseluruhannya melibatkan pemasangan sebanyak 5,000 unit lampu dengan pecahan 4,000 unit lampu jenis HPSV dan 1,000 unit lampu jenis LED," jelasnya.

Dalam pada itu, pihaknya turut merancang untuk meneruskan pelaksanaan projek-projek prasarana yang lain di Sabah menerusi projek-projek sambungan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan projek baharu menerusi Bajet 2023 yang dijangka dibentangkan pada Oktober depan.

Sehubungan itu, beliau amat berharap permohonan peruntukan tambahan RM50 juta untuk meneruskan pelaksanaan projek LJK di negeri ini akan diluluskan Kementerian Kewangan dalam Bajet 2023 nanti.

Katanya, peruntukan tambahan RM50 juta itu membabitkan pemasangan 19,000 unit lampu LED. Bagaimanapun, agihan mengikut keperluan negeri belum dibuat.

Beliau berkata, pelaksanaan program berkenaan dibuat secara berperingkat berdasarkan keperluan, keutamaan dan kos operasi serta penyenggaraan yang akan ditanggung oleh kerajaan secara berterusan.

"Kita tahu terdapat cabaran dan halangan dalam menyiapkan projek ini terutamanya dari segi geografi dan keluasan memandangkan Sabah adalah sebuah negeri yang luas dan mempunyai 24 Parlimen serta kawasan luar bandar yang banyak.

"Kerajaan amat prihatin terhadap kelangsungan kehidupan masyarakat luar bandar. Justeru, menerusi penyempurnaan kedua-dua projek ini, ia sekali gus mampu meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk selain perniagaan setempat bagi meningkatkan pendapatan penduduk pada waktu malam dapat dilaksanakan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SESB Mohd Yaakob Jaafar berkata, sebagai pengendali utama pembekalan elektrik di negeri ini, SESB akan terus berusaha untuk memperbaiki serta memantapkan lagi keadaan bekalan elektrik di Sabah.

Katanya, tumpuan untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di luar bandar menjadi antara objektif SESB dengan menggiatkan pelbagai usaha bagi memberikan cahaya kepada penduduk di dua kampung iaitu Kampung Balat dan Kampung Litang Kinabatangan.

"Pembaikan stesen berkenaan dilaksanakan secara berperingkat dan siap sepenuhnya pada 28 Ogos 2022. Usaha ini menamatkan penantian penduduk di dua kampung berkenaan yang terpaksa bergantung kepada penggunaan enjin jana kuasa elektrik atau pelita sebelum ini.

"Selain itu, SESB selaku kontraktor penyelamat turut berjaya menyiapkan kerja-kerja pembaikan projek BELB Pinangah Tongod bermula 26 Ogos 2021. Projek berkenaan dimulakan pada 3 Februari 2020 dan sepatutnya disiapkan pada April 2021.

"Namun, pelaksanaannya mengalami kelewatan disebabkan oleh beberapa kekangan teknikal dan impak pandemik COVID-19. Projek ini memberikan manfaat kepada penduduk di sembilan kampung di kawasan itu," jelasnya.

Sumber: Utusab Borneo



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama