Pasar Tamu Beluran Beri Manfaat Kepada Pengusaha Serta Pengguna




Ronald (dua kiri) menyaksikan Arsit (kiri) menerima replika cek ESHN daripada LKIM.

BELURAN
: Pelancaran Pasar Tamu Beluran sempena Program Semarak Tani Keluarga Malaysia@Beluran bukan sahaja membantu mengukuhkan rangkaian peruncitan pasar tamu di Sabah dan Sarawak.

Malah usaha yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu akan memperkasakan lagi pemasaran hasil pertanian melalui pembangunan outlet pemasaran kekal.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Projek Naik Taraf Pasar Tamu Beluran siap pada pertengahan Mei tahun ini di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berjumlah RM746,000.

Katanya, penaiktarafan pasar tamu itu memberi manfaat kepada 120 peserta sedia ada dalam memasarkan produk-produk mereka sekali gus memudahkan urusan antara usahawan dan pengunjung serta pihak berkuasa tempatan (PBT).


Majlis penyerahan Pasar Tamu Beluran kepada Majlis Daerah Beluran diadakan sempena Program Semarak Tani Keluarga Malaysia@Beluran pada 18 September lepas.

Pasar Tamu Beluran yang dibangunkan oleh MAFI melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) adalah pasar tamu keempat yang dinaik taraf di Sabah selepas Pasar Tamu Sook, Kudat dan Kunak.

Katanya, dengan adanya pasar tamu berkenaan, ia membantu pengguna untuk mendapatkan produk-produk pertanian dan industri makanan pada harga yang berpatutan di daerah ini.

Sempena dengan majlis itu, Ronald turut menyaksikan penyampaian beberapa insentif kepada komuniti agromakanan khususnya di Beluran.

TAMU: Pengunjung lebih mudah mendapatkan produk pertanian pada harga yang berpatutan di Pasar Tamu Beluran.

Bagi penyerahan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) Laut, seramai 650 nelayan menerima manfaat secara tunai membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM193,275.80.

Kadar bayaran ESHN bagi nelayan laut adalah RM300 sebulan, namun terdapat nelayan yang akan menerima RM253.40 kerana mempunyai caruman perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM46.60 setahun.

Pada majlis itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH) Datuk Arsit Sedi turut menerima bayaran ESHN bagi seluruh nelayan di Sabah tahun ini yang berjumlah RM22,013,900 membabitkan seramai 7,671 penerima.

Menurutnya, perkara berkaitan ESHN sering dibangkitkan dalam mesyuarat perhubungan agar pihak MAFI terus memberi perhatian terhadap isu-isu berkaitan kebajikan golongan nelayan di negeri ini.

"Kita amat bersyukur kerana MAFI menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sentiasa mengambil berat dan prihatin dengan keperluan para nelayan di Sabah.

"Isu-isu seperti kemudahan, elaun, naik taraf jeti, malah bantuan pembaikan rumah kita kemukakan kepada LKIM agar perkara berkaitan dapat disediakan," katanya kepada media.

USAHAWAN: Pasar Tamu Beluran memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan tempatan.

Beliau turut berharap pelaksanaan program Semarak Tani Keluarga Malaysia supaya diperluaskan ke daerah-daerah lain di Sabah agar lebih ramai komuniti agromakanan menerima manfaat.

Menurutnya, program yang diadakan di Beluran ini sudah jelas impaknya dengan sambutan yang luar biasa daripada masyarakat setempat.

Selain itu turut disampaikan, ESHN Darat di bawah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bagi 2022 yang bernilai RM534,000 untuk manfaat seramai 178 orang nelayan darat.

Pihak MAFI turut menyampaikan projek naik taraf dan bina baharu sebanyak 14 jeti di kawasan Parlimen Beluran melibatkan kos keseluruhan RM1.2 juta bagi kemudahan pendaratan ikan yang lebih baik kepada nelayan-nelayan setempat.

MAFI melalui LKIM merangka pelan strategik secara holistik merangkumi pembangunan sektor perikanan dan sosio ekonomi nelayan sekali gus menunjukkan betapa besarnya sumbangan sektor perikanan dalam pembangunan ekonomi negara.

Golongan asnaf di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Beluran turut diberi bantuan serta sumbangan perlindungan takaful kemalangan diri oleh pihak Agrobank.

Penyampaian lain termasuklah penyerahan peralatan pertanian oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), penyerahan Projek Naik Taraf Jeti Nelayan oleh LKIM dan penyerahan kit serta pelepasan lori MAFI Prihatin.

Usaha berterusan yang dilaksanakan ini membuktikan MAFI sentiasa prihatin dan komited dalam menaik taraf kehidupan usahawan agromakanan.

Pada masa sama, kebajikan para peladang, penternak, petani, dan nelayan turut diberi perhatian agar bekalan makanan negara terus kekal terjamin demi kelangsungan hidup Keluarga Malaysia.

Majlis penutupan Program Semarak Tani Keluarga Malaysia@Beluran dimeriahkan dengan acara penyampaian hadiah cabutan bertuah yang dinantikan ribuan pengunjung.

Pelbagai hadiah menarik disediakan untuk para penerima bertuah membabitkan masyarakat setempat yang menjayakan penganjuran Program Semarak Tani Keluarga Malaysia@Beluran.

Sumber : Utusan Borneo

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama