![]() |
Rasmi: Amisah (tengah) Ketika hadir bagi merasmikan pusat pelancongan 'Whitewater Rafting and Kayaking ', di sini. |
RANAU: Penduduk di daerah ini disaran untuk mewujudkan produk pelancongan berorientasikan percutian keluarga di peringkat kampung supaya boleh menarik lebih ramai pelancong dari luar datang ke Ranau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yasin berkata daerah Ranau mempunyai banyak destinasi pelancongan yang menarik.
Namun, katanya, kebanyakan pusat pelancongan di sini adalah aktiviti orang dewasa dan kurang sesuai untuk percutian bersama keluarga yang melibatkan kanak-kanak.
“Ramai pelancong datang ke Ranau atau Kundasang hanya sekejap sahaja kerana kurang tempat mereka beriadah bersama anak-anak mereka.
“Justeru, saya menyarankan supaya pengusaha pusat pelancongan mewujudkan produk pelancongan yang boleh dijadikan tempat beriadah untuk seisi keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pusat pelancongan ‘Whitewater Rafting and Kayaking’ di Sungai Mokodou Kg Perancangan, di sini baru-baru ini.
Amisah yang juga pengerusi Kumpulan SriKandi Daerah Ranau turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usahasama antara Jawatankuasa Tagal Kampung Perancangan yg diketuai Juanis Sabut dengan Borneo Strider yang diwakili Razzlee Lasiman.
Katanya, Ranau dan Kundasang adalah destinasi pelancongan utama di Sabah khusus Taman Kinabalu, Kolam Air Panas Poring, Sabah Tea, dan banyak lagi.
Dalam pada itu, Amisah mencadangkan supaya penduduk kampung di sini menubuhkan Koperasi agar dapat mengurus dan mewujudkan pusat pelancongan.
“Selain itu, penduduk kampung juga boleh menceburi diri dan menyediakan khidmat Homestay bercirikan rumah tradisi untuk penginapan pelancong.
“Penduduk juga boleh membina pondok berteduh dan kemudahan tandas bersih untuk kemudahan pelancong yang datang.
“Saya akan membantu dari segi bimbingan dan mencari sumber-sumber peruntukan daripada kerajaan, khususnya melalui peruntukan ADUN,” katanya.
Sumber: Utusan Borneo