![]() |
Datuk Masiung Banah |
KOTA KINABALU: Sukatan mata pelajaran sejarah khususnya berkaitan dengan kemerdekaan Sabah dan Sarawak yang terkandung dalam buku teks sekolah wajar dikaji semula.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, isi kandungan dalam buku teks sejarah itu kurang tepat dan bersifat berat sebelah kepada rakyat dua wilayah borneo ini.
Masiung mengesa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dapat menggubal semula buku-buku teks yang diguna pakai dalam kurikulum mata pelajaran sejarah disemua peringkat.
“Kepincangan fakta dalam buku teks sejarah yang digunakan dalam mata pelajaran di sekolah hendaklah diperbetulkan supaya mesej sebenar dapat disampaikan kepada pelajar.
“Apa yang kita nampak dalam buku teks sejarah di sekolah, fakta sebenar kemerdekaan Sabah dan Sarawak melalui Malaysia telah disembunyikan, malah banyak menonjolkan sejarah Tanah Melayu atau Malaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Kemerdekaan di Sekolah Kebangsaan Sagoun sebelum meraikan Malam Merdeka di Sekolah Menengah Penangah dalam daerah Tongod, Rabu lalu.
Katanya, tarikh 16 September 1963 adalah detik bersejarah, ia menyaksikan penyatuan bersama Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di tanah melayu membentuk sebuah negara baharu bernama Malaysia.
“Ketika negara menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos, ia cuma memperingati Kemerdekaan Tanah Melayu (Malaya) iaitu pada tanggal 31 Ogos 1957.
“Bagaimanapun, tarikh itu sebenarnya tidak terpakai dan bukanlah kemerdekaan untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.
Menurutnya, hanya setelah enam tahun kemudian iaitu 16 September 1963 barulah wujud penyatuan bersama Sabah, Sarawak dan Singapura membentuk negara baharu diberi nama 'Persekutuan Malaysia'.
Masiung berkata, rentetan dari peristiwa pembentukan Persekutuan Malaysia, maka Perjanjian Malaysia 1963 turut termeterai iaitu 20 perkara bagi Sabah dan 18 perkara Sarawak.
“Dua peristiwa yang tidak dicatatkan secara terperinci dalam buku teks mata pelajaran sejarah iaitu tarikh kemerdekaan dan penyatuan Malaysia.
“Fakta sejarah tidak boleh digubal berdasar andaian semata-mata kerana sejarah adalah fakta. Kepincangan fakta dalam buku teks tersebut perlu diperbetulkan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, isu itu akan dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri akan datang supaya dibuat penelitian semula terhadap kandungan buku teks sejarah di sekolah.
“Penggubal buku teks perlu lebih berani dalam membicarakan soal fakta, walaupun ia menyentuh sensitiviti masyarakat.
“Buku teks yang dijadikan kurikulum pendidikan perlu kajian lebih mendalam supaya fakta yang tertulis adalah sejarah yang tepat dan benar,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo