MAUT: Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di kepala disyaki dilanggar oleh sebuah kenderaan -(Utusan Borneo) |
KOTA KINABALU: Seorang lelaki pejalan kaki ditemukan maut dipercayai dilanggar kenderaan dalam kejadian di Sinsuran Jalan Tun Razak di sini awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa yang berumur 41 tahun dan beralamat di Putatan itu ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di bahagian kepala kira-kira jam 1.20 pagi.
Katanya, seorang penunggang motosikal yang melalui jalan berkenaan mendapati mangsa terbaring di lorong kiri jalan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.
Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan, mangsa disyaki dilanggar oleh sebuah kenderaan yang tidak diketahui jenis dan nombor pendaftaran kenderaan terbabit.
"Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala berkemungkinan akibat kesan hentakan objek keras di bahagian muka dan kepala.
"Terdapat kesan lurus di atas jalan raya pada lorong sebelah kiri disyaki kesan brek sebuah kenderaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kemalangan terbabit disyaki berpunca semasa mangsa cuba melintas jalan. Bagaimanapun, siasatan akan diteruskan bagi mengesan kenderaan yang terlibat.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit supaya menghubungi pihak polis.
Sumber : Utusan Borneo