![]() |
MASIUNG |
KOTA KINABALU: Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) diminta memberi penjelasan berhubung indek kemiskinan yang mengklasifikasikan lapan daerah di Sabah disenaraikan sebagai daerah termiskin di Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah berkata, beliau mempersoalkan sama ada daerah yang dilabel termiskin dinilai dari segi statistik data e-Kasih penduduk atau berpandukan indek pembangunan di daerah terbabit.
"Saya keliru dengan kajian yang dijalankan oleh JPM, sebagai ADUN, saya menyedari purata memiskinan isi rumah di daerah Tongod agak terpencil.
"Kadar kemiskinan dilapan daerah dilabel termiskin di Sabah harus diukur menggunakan kaedah betul bagi memastikan kajian tepat dan terperinci," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, mengambil contoh, indek kemiskinan di Tongod jauh lebih kecil iaitu 2,596 berbanding lebih 5,000 data e-Kasih di Semporna, tetapi daerah pantai timur itu tidak tersenarai sebagai daerah termiskin.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, beliau mengakui jika sekiranya penilaian JPM berdasarkan pada indek pembangunan awam, tentunya kemajuan di Tongod masih dalam program pelaksanaan.
"Untuk rekod, Tongod terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut dan Parlimen Kinabatangan merupakan daerah paling luas di Sabah, di mana saiznya lebih besar berbanding Kedah.
"Tongod dengan keluasan 10.051 kilometer persegi, sudah tentu mengambil masa bagi kerajaan mewujudkan lebih banyak pembangunan asas," katanya.
Menurutnya, selain Tongod, tujuh lagi daerah dikategorikan termiskin di Sabah ialah Pitas, Telupid, Beluran, Kota Merudu, Kota Belud dan Nabawan.
Mengulas lanjut perkara itu, Masiung menjelaskan populasi di Tongod adalah melebihi 43,000 penduduk, data e-Kasih cuma merekodkan 2,596 penduduk yang diklasifikasikan miskin dan miskin tegar.
Namun kini katanya, jumlah e-Kasih itu telah berkurangan apabila 674 isi rumah sudah terkeluar dari garis kemiskinan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sekali gus Tongod turun menduduki tangga ke-15 di seluruh Sabah.
Menurutnya, Pejabat Daerah Tongod kini dalam rangka melakukan pemeriksaan kepada penduduk dan dijangka lebih 400 lagi pemegang e-Kasih akan terkeluar dari garis kemiskinan pada hujung tahun ini.
Beliau berkata, sejumlah besar isi rumah di Tongod sudah memiliki hak milik tanah sendiri melalui agihan lot-lot kerajaan secara bersasar.
Menurutnya, penduduk telah mengusahakan tapak tanah yang diagihkan melalui bantuan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), dan ia sesuai dengan misi pembangunan Tongod sebagai jelapang pertanian.
Sumber : Utusan Borneo