Kerajaan Komited Beri Tumpuan Operasi Keselamatan Sabah




TAWAU
: Kerajaan komited memberi tumpuan kepada operasi keselamatan di Sabah bagi memperlihatkan kesungguhan dalam menjaga kedaulatan negara ketika ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata jawatankuasa komunikasi strategik yang dipengerusikannya berpandangan bahawa keselamatan di perairan Sabah perlu diberi perhatian sewajarnya.

Katanya, keselamatan di negeri ini khususnya di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) perlu dipertingkatkan sejajar dengan usaha kerajaan.

“Kita ingin memastikan rakyat Sabah dapat melihat dengan lebih dekat dan mengetahui kesungguhan kerajaan dalam menjaga kedaulatan negara.

“Perkara ini telah dibincangkan berkali-kali dalam mesyuarat keselamatan dan sebagainya, malah ia juga atas arahan Perdana Menteri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Zon 5 dan 6 Sabah, di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman-pengalaman sebelum ini dan pelbagai berita yang tersebar telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat untuk melakukan aktiviti harian.

“Saya akan berjumpa dengan penduduk kampung di Pulau Bum Bum Semporna dan akan bercakap terutamanya soal keselamatan di kawasan mereka.

“Saya suka dapatkan maklum balas daripada orang ramai tentang yang mereka lalui samada dari segi kos sara hidup, jaringan komunikasi dan sebagainya,” katanya.

Mengulas mengenai majlis ini, beliau berkata, pihak kerajaan sedang dalam proses mentransformasikan Pusat Internet Komuniti di seluruh negara dengan memberikan nafas baharu dan telah melancarkan PEDi.

“PEDi bermatlamat meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti setempat dan memberi pendedahan kemahiran digital kepada semua penduduk.

“Usaha ini membabitkan pembangunan kemahiran masyarakat setempat mengenai penggunaan internet serta mempelopori peluang perniagaan melalui platform e-dagang tanpa mengira peringkat umur,”katanya.

Annuar berkata setakat ini sebanyak 911 pusat PEDi telah beroperasi di seluruh negara dan menjelang penghujung tahun hadapan 173 PEDi lagi akan beroperasi.

“Bagi negeri Sabah pula, sejumlah 118 PEDi sudah diwujudkan dan ia dilengkapi dengan 1,770 unit Peranti Komuniti bagi memudahkan masyarakat setempat menjalankan aktiviti ekonomi digital.

“Fasa kedua pula, 65 PEDi akan menerima 975 unit Peranti Komuniti, selebihnya diterima pada fasa berikutnya,” katanya.

Terdahulu, seramai 23 pengerusi PEDi daripada Zon 6 Parlimen Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kalabakan yang dilantik menerima surat pelantikan serta peranti masing-masing.

Turut hadir Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Sumber : Utusan Borneo


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama