KOTA KINABALU: Prestasi ekonomi Sabah menunjukkan pemulihan pada 2021 biarpun masih belum setara dengan prestasi ekonomi pada 2019.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, berdasarkan dapatan daripada penerbitan buku Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mengikut negeri oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 30 Jun 2022, KDNK Sabah pada 2021 merekodkan pertumbuhan sebanyak 1.1 peratus berbanding KDNK 2020.
Menurutnya, tahun lepas KDNK Sabah merekodkan nilai berjumlah RM78.7 bilion berbanding KDNK 2020 iaitu RM77.8 bilion ketika pandemik COVID-19 sedang menular di seluruh negara.
Beliau berkata, berdasarkan rekod, kadar pertumbuhan KDNK Sabah pada 2020 menyusut kepada negatif 7.8 peratus berbanding 2019.
"Sektor perkhidmatan mendominasi sumbangan kepada KDNK Sabah iaitu sebanyak 47.3 peratus, diikuti sebanyak 26.0 peratus sumbangan daripada sektor perlombongan dan pengkuarian.
"Terdapat peningkatan KDNK per kapita bagi negeri ini iaitu RM26,674 pada 2021 berbanding RM21,706 pada 2020.
"KDNK per kapita Sabah berada di bawah paras nasional iaitu KDNK per kapita Malaysia ialah RM47,324 pada 2021," katanya ketika merasmikan Siri Jelajah Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 Negeri Sabah di sini hari ini.
Hajiji berkata, pada 2020, jumlah penduduk Malaysia yang dibanci adalah seramai 32.4 juta orang berbanding 27.5 juta orang yang direkodkan 10 tahun lepas.
Beliau berkata, dalam tempoh sedekad itu, pertumbuhan penduduk meningkat lebih perlahan dengan kadar 1.7 peratus berbanding 2.1 peratus pada 2010.
Menurutnya, berdasarkan data dalam penerbitan pertama Penemuan Utama Banci Malaysia 2020, jumlah penduduk di Sabah dicatatkan seramai 3.418 juta orang pada 2020 berbanding 3.117 juta orang pada 2010.
Katanya, terdapat penurunan dalam kadar pertumbuhan penduduk di Sabah daripada 2.3 peratus pada 2010 kepada 0.9 peratus pada 2020.
"Nisbah jantina penduduk Sabah pula mencatatkan 109 lelaki bagi setiap 100 perempuan dan ini menunjukkan penduduk lelaki lebih ramai daripada perempuan.
"Berdasarkan hasil dapatan Banci Malaysia 2020 yang dilancarkan pada 29 Mei 2022, sebanyak 600 Penerbitan Subnasional Dewan Undangan Negeri (DUN) dihasilkan.
"Ini boleh dijadikan sebagai sumber rujukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk merancang pembangunan sosio ekonomi dan strategi bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk di kawasan masing- masing," jelasnya.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Shahelmey Yahya dan Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.
Sumber : Utusan Borneo