4,332 Individu Terima Bantuan YKS Sejak September Tahun Lepas




KOTA KINABALU
: Seramai 4,332 individu di negeri ini menerima bantuan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) sejak ia dimulakan pada September tahun lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, idea menubuhkan YKS untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Sabah berikutan ramai yang menghadapi kesusahan dan memerlukan bantuan akibat pandemik COVID-19.

Menurutnya, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) menubuhkan YKS untuk membantu menggerakkan aspek kebajikan rakyat.

Pada masa sama pihaknya mahu yayasan berkenaan diuruskan secara telus mengikut undang-undang dan peraturan dalam mentadbir yayasan.

"Para penerima bantuan YKS termasuk dalam kalangan mangsa, keluarga dan murid sekolah yang terjejas akibat bencana alam.

"Bantuan juga disediakan untuk kes kecemasan yang tidak dilindungi oleh pihak lain termasuk organisasi bantuan termasuk agensi kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah YKS di Menara Kinabalu di sini semalam.

Pada mesyuarat itu, Hajiji diberi taklimat oleh Pengarah YKS Rugayah Awang Besar berhubung aktiviti dan perancangan YKS antaranya pembinaan Teratak Perihatin YKS.

Ia berkonsepkan rumah tumpangan bagi mereka yang memerlukan dari daerah terpencil untuk tinggal sementara melawat saudara mereka di hospital.

Rumah yang sudah siap kira-kira 75 peratus itu mampu memuatkan 20 orang dalam satu-satu masa.

Hajiji kemudiannya turut menyaksikan penyerahan sumbangan RM40,000 daripada Kelab Hiburan, Kebajikan dan Sukan (KHKS) Kementerian Kewangan Negeri Sabah kepada YKS.

Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sofian Nair kepada Rugayah.

Sumber : Utusan Borneo





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama