Robert (dua kanan) melawat ke salah satu lokasi pembinaan menara telekomunikasi yang sedang dibina di kawasan DUN Bingkor. |
KENINGAU: 12 buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor bakal mendapat kemudahan jaringan telekomunikasi yang lebih baik hasil inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik berkata, pembinaan 12 menara di 12 kampung di DUN Bingkor telah dimulakan sejak awal tahun ini, yang mana satu daripadanya telah siap dibina manakala selebihnya dijangka siap awal tahun hadapan.
Antara kampung-kampung terlibat adalah Kampung Tiga Apin-Apin; Kampung Matanoi; Kampung Pangas Ulu; Kampung Takad Baru Apin-Apin; Kampung Sungoi Apin-Apin; Kampung Kirokot Baru; Kampung Tohan Baru; Kampung Liau Ulu; Kampung Bunga Raya; Kampung Kuangoh; Kampung Tuntumulud dan Taman Jaya.
Jelas beliau, pembinaan menara di 12 lokasi di DUN Bingkor sudah tentu mampu melonjakan penyediaan kemudahan jaringan telekomunikasi yang lebih baik, serta diyakini memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke 12 lokasi pembinaan menara telekomunikasi di DUN Bingkor, kelmarin.
Dalam perkembangan sama, Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor turut mengucapkan terima kasih kepada kepada Kerajaan Persekutuan kerana prihatin terhadap keperluan rakyat di kawasan luar bandar.
"Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah meluluskan sebanyak 12 menara telekomunikasi ini demi kesejahteraan, kemudahan dan pembangunan penduduk di DUN Bingkor.
"Mudahan menara telekomunikasi ini akan bakal memberi lonjakan penyediaan kemudahan jaringan telekomunikasi yang lebih baik serta banyak memberi manfaat kepada masyarakat setempat, " katanya.
Tambahnya lagi, beliau akan memastikan pelaksanaan kemudahan itu berjalan dengan lancar dan tidak terganggu agar ianya dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan atau kemungkinan lebih awal, demi manfaat penduduk di DUN Bingkor.