Kinabatangan: Seorang kanak-kanak rentung dan lima lagi ahli keluarga termasuk bapa serta ibunya cedera selepas rumah mereka di Kampung Perpaduan, di sini, terbakar tengah malam tadi.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa Mohd Adlinsyah Mohd Adsni 6, ditemui meninggal dunia selepas dipercayai terperangkap di dalam bilik rumah berkenaan.
Manakala kedua ibubapanya dan dua abang serta adiknya yang berusia tiga tahun hingga 43 tahun turut mengalami kecederaan melecur terkena bahan api.
Difahamkan, dua lagi ahli keluarga mangsa membabitkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan wanita warga emas, 77 tahun, terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.40 tengah malam.
Katanya, seramai enam pegawai dan anggota bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu memadamkna api kebakaran.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 185 meter persegi yang musnah terbakar 100 peratus.
"Semasa ketibaan pasukan bomba di lokasi, sebuah motosikal Honda EX5 turut terbakar sepenuhnya manakala sebuah kenderaan Isuzu Dmax berjaya diselamatkan" katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 60 meter dengan tiga pancutan dari sumber air jentera.
"Api kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.40 manakala semua mangsa cedera dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kinabatangan.
"Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi sebelum menamatkan operasi sepenuhnya pada jam 3.56 pagi," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan sisasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca serta jumlah kerugian dalam insiden ini.
Sumber : --DEASOKA