KOTA KINABALU: Pelaksanaan projek fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dengan anggaran jarak keseluruhan 706 kilometer (km) dibahagikan kepada tiga puluh lima (35) pakej kerja.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup (gambar) berkata, sehingga kini 15 pakej kerja telah melalui proses pelantikan kontraktor bagi tujuan kerja-kerja pembinaan dengan, status kemajuan sehingga Mei 2022 bagi pakej kerja yang telah dimulakan adalah 63 peratus.
Jelas beliau, ia termasuklah pembinaan bagi tiga pakej kerja baharu WP28, WP29 dan WP30 yang melibatkan laluan dari Sandakan Mile 32 sehingga ke Sungai Baoto sepanjang 60.8 km dan dijangka akan siap pada suku keempat tahun 2024.
"Kementerian akan terus menyenggara dan membaiki jalan di sepanjang laluan tersebut untuk keselesaan pengguna. Bagi jalan yang termasuk dalam fasa pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo, kerja-kerja penyenggaraan akan dilaksanakan oleh kontraktor Pan Borneo.
"Manakala bagi Jalan Persekutuan yang tidak termasuk dalam fasa pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo, kerja-kerja penyenggaraan akan dilaksanakan oleh Konsesi Jalan Persekutuan yang dilantik.
"Kementerian turut menerima aduan daripada pengguna jalan tersebut khususnya bagi laluan FT22 Kota Kinabalu - Sandakan.
"Justeru, Kementerian telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Jalan Telupid – Sandakan bertujuan untuk mengenalpasti dan mencari jalan penyelesaian jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang untuk mengatasi kesulitan pengguna di sepanjang laluan tersebut, " katanya.
Dalam pada itu, Arthur turut memberitahu, hala tuju pasukan petugas khas itu adalah memfokuskan aspek yang berkait dengan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya serta meningkatkan lagi kerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan.
"Sebagai langkah jangka pendek, Kementerian telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10.5 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera, " katanya.
Tambah beliau, kerja-kerja tersebut telah bermula pada awal bulan Julai lalu dan bagi lokasi yang kritikal ianya akan dibaiki terlebih dahulu.
"Kerja-kerja pembaikan awalan ini dijangka akan siap pada minggu kedua Ogos 2022. Pada masa yang sama, kerja-kerja untuk mengenalpasti laluan yang berisiko akan terus dibuat oleh JKR Sabah dan pihak perunding yang akan dibentangkan pada mesyuarat Task Force secara berperingkat.
"Usaha-usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian infrastruktur jalan raya yang terancang, sistematik dan efisien, " katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (Sandakan) yang meminta Kementerian Kerja Raya menyatakan secara terperinci bilakah pakej kerja WP28, WP29 dan WP30 LPB Sabah akan disiapkan dan adakah kementerian akan terus menyelenggara jalan Persekutuan utama sedia ada dari Sandakan ke Telupid semasa projek Pan Borneo sedang dalam pembinaan.
Sumber : Utusan Borneo