Jangkaan itu berdasarkan kajian melalui pengundi secara dalam talian yang dibuat Institut Kajian Pembanguanan Sabah (IDS) pada 25 Julai hingga 5 Ogos lalu.
Dalam satu kenyataan, di sini, IDS berkata kajian itu disertai 456 responden yang terdiri daripada 76.9 peratus lelaki dan 23.03 peratus wanita dengan kumpulan umur 18-35 tahun (20.39 peratus), 36-50 tahun ( 37.94 peratus), 52-65 tahun (35.53 peratus) dan golongan berumur 66 tahun ke atas (6.14 peratus).
Daripada jumlah responden itu juga, 48 peratus ialah pekerja sektor awam dan swasta, diikuti golongan peniaga dan bekerja sendiri (29.82 peratus), golongan tidak bekerja (20.39 peratus) dan pelajar (1.54 peratus).
Analisis geografi pula menunjukkan 32.46 peratus adalah responden bandar, diikuti golongan dari pinggir bandar (25.44 peratus) dan responden dari luar bandar (42.11 peratus).
Hasil pengundian yang dilakukan IDS menunjukkan 17.11 peratus responden meramalkan PRU-15 diadakan pada suku pertama 2023 (Januari-Mac), 44.74 peratus meramalkan pada suku kedua (April hingga Jun) dan 38.16 peratus responden pula meramalkan PRU-15 pada suku keempat tahun ini.
"Secara keseluruhan 61.84 peratus responden meramalkan PRU-15 diadakan pada 2023 berbanding pada akhir tahun 2022.
"IDS merancang untuk melakukan kajian analisis lanjut berkaitan perkara ini dengan menggunakan kaedah yang lebih terperinci," kata kenyataan itu.
Menerusi kenyataan itu juga, IDS menjelaskan pengundian secara dalam talian yang dibuat institut berkenaan adalah satu mekanisme untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas awam berkaitan isu utama di Sabah.
Katanya, ia akan dijadikan penanda aras awal sebelum kajian dan analisis yang lebih mendalam dilaksanakan.
Pengundian secara dalam talian IDS itu boleh di dapati melalui laman sesawang IDS di www.ids.org.my.
Sumber : DEASOKA