KENINGAU: Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dan disyaki kurang siuman ditangkap oleh Polis Keningau kerana menceroboh dan merosakkan dua patung dan salib di Gereja Katedral St. Francis Xavier pada pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Keningau, DSP Nor Rafidah Binti Kassim, pihak polis menerima laporan pada 10.01 pagi mengenai kejadian yang berlaku di gereja tersebut.
Melalui sidang media yang dikeluarkan sebentar tadi, Gereja Katedral St. Francis Xavier dimasuki oleh seorang individu yang tidak dikenali dan individu tersebut merosakkan sebanyak dua patung kiri dan kanan serta salib besar turut dijatuhkan dalam kejadian sekitar 7.30 pagi, hari yang sama.
"Siasatan awal mendapati gereja tersebut berada dalam kawasan berpagar tetapi pintu gereja dan pintu pagar tidak berkunci. Pemeriksaan terhadap sistem CCTV gereja tersebut juga didapati tidak berfungsi" katanya.
"Siasatan lanjut telah membawa kepada penangkapan lelaki tempatan berusia 34 tahun dan disyaki kurang siuman. Hasil ujian air kencing yang dijalankan, saspek didapati negatif dadah" tambahnya.
Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke IPD Keningau untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Pihak Polis Keningau juga menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi terhadap gambar dan video yang tular di media sosial bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan pihak polis. - Sabah Info