TAWAU: Sebanyak sembilan Pasukan Bomba Komuniti ditubuhkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu bagi membantu sekiranya berlaku bencana di kawasan mereka.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata penubuhan pasukan ini adalah inisiatif pihaknya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.
Katanya, Pasukan Bomba Komuniti adalah langkah proaktif bagi memastikan penduduk mendapat pendedahan awal dan pengetahuan asas sekiranya menghadapi bencana seperti kebakaran.
“Semua peserta diberikan kursus secara teori dan praktikal selama lapan jam termasuklah diajar untuk menghadapi situasi sekiranya berlaku kebakaran.
“Kita mulakan di DUN Tanjung Batu dahulu kerana kebanyakkan kampung di kawasan ini mempunyai rumah yang terlalu rapat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan program pemerkasaan Bomba Komuniti, di sini semalam.
Menurutnya, seramai 92 orang daripada beberapa buah kampung DUN Tanjung Batu telah mengikuti program selama satu hari, di sini.
“Kita telah mengarahkan setiap kampung menghantar wakil dan ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk.
“Dengan adanya pasukan ini diharapkan boleh membuat tindakan awal dan membantu pihak bomba sekiranya berlaku kebakaran di kawasan mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua JBPM Zon Tawau Sukur Hatta berkata inisiatif yang dilakukan oleh pihak DUN Tanjung Batu untuk menubuhkan pasukan ini sangat tepat.
“Pasukan Bomba Komuniti ini mampu bertindak awal sekiranya berlaku sebarang kebakaran khususnya di kawasan kampung setinggan.
“Penubuhan ini adalah perkongsian tanggungjawab antara rakyat dan bomba bagi memudahkan sebarang tindakan dengan segera,” katanya.
Untuk rekod, kebakaran di kawasan setinggan di daerah ini pada tahun 2019 sebanyak empat kes, 2020 sifar kes, manakala masing-masing dua kes bagi tahun 2021 dan 2022.
- Utusan Borneo Online