KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri Datuk Ir Shahelmy Yahya menyaksikan pelancaran perkhidmatan eBas Kota Kinabalu (eBusKK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB), Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.
Pengarah Eksekutif QSB, Haji Mohd. Shukor Abdul Mumin berkata, perkhidmatan eBusKK menggunakan bas berkapasiti 54 penumpang akan melalui laluan pengangkutan awam yang ditetapkan sebagai Laluan eBusKK 101, atau juga dikenali sebagai Laluan Sepanggar 6B, dari Isnin hingga Khamis.
“Ini hanyalah permulaan untuk mengukur kebolehpercayaan eBas dalam menyokong pengangkutan awam sedia ada,” katanya sambil menambah, perkhidmatan itu juga akan membantu mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan pada masa hadapan.
Perkhidmatan eBusKK adalah usaha kerjasama antara QSB, cabang pelaburan Kerajaan Sabah, dan Gemilang Coachwork Sdn Bhd, salah satu pembina badan bas elektrik dan aluminium terkemuka di Asia.
Beliau berkata, eBusKK merupakan respons QSB selepas ditugaskan untuk membantu menangani kesesakan lalu lintas di bandaraya ini dengan menggabungkan perkhidmatan pengangkutan awam yang mampan alam sekitar.
“Melalui perkhidmatan eBusKK, kita menyokong usaha Kerajaan untuk menambah baik sistem pengangkutan awam di bandar ini sambil memperkenalkan penggunaan kenderaan bebas emisi.
“Ini juga sebagai usaha untuk membina kesedaran di kalangan pihak berkepentingan berkaitan kepentingan mempunyai sistem pengangkutan bersepadu dan mantap,” kata Mohd. Shukor.
Beliau berharap, kumpulan berkepentingan lain akan turut serta dalam usaha menambah baik lagi pengangkutan awam dengan tumpuan kepada sumber ‘bersih dan hijau’.
Mohd. Shukor berkata, perkhidmatan eBusKK adalah antara inisiatif mengurangkan pelepasan karbon di Kota Kinabalu menjelang 2050.
“Untuk mencapai sasaran menjadi negara neutral karbon menjelang 2050, semua pihak perlu terlibat. Harapan kami ialah perkhidmatan bas elektrik akan diperluaskan ke daerah lain di seluruh Sabah,” katanya.
Dikuasakan sepenuhnya oleh elektrik, eBas ini dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk sistem pengumuman perhentian bas automatik, tanjakan menaiki untuk menyediakan akses mudah untuk orang kurang upaya dan warga emas. Ia turut dilengkapi kamera CCTV untuk keselamatan penumpang, sistem kedudukan global (GPS) dan sistem pemantauan pemandu.
Turut hadir, Pengarah QSB Datuk Dr. Johnson Tee, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Rizal Dahli, Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Norsiah Patah dan Pengarah Jabatan Trafik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Saiman Anggak.
Perkhidmatan eBusKK sedang dilaksanakan oleh QSB sebagai sebahagian daripada projek perintis selama enam bulan di mana orang ramai boleh menikmati kemudahan ini di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu bermula dengan laluan antara Sepanggar dan Menara Kinabalu di kawasan pusat bandar. Kajian kemungkinan akan dijalankan semasa larian perintis ini untuk menilai kemampanan perkhidmatan bas elektrik di Sabah.
Larian perintis akhirnya akan diperluaskan melangkaui laluan Sepanggar-Menara Kinabalu. Hasil kajian akan membuka jalan kepada perancangan terperinci dan keseluruhan perkhidmatan eBus masa hadapan.
Sejak Oktober lalu, QSB telah berusaha untuk memastikan persediaan teknikal dan langkah-langkah keselamatan ditetapkan sebelum larian perintis. Ini termasuk kajian teori mekanikal, kebolehpercayaan produk, sokongan vendor, infrastruktur dan kecekapan sistem untuk menyokong perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada.
Kajian eBas juga akan melengkapkan perancangan masa depan Bandaraya Kota Kinabalu.
Sumber : WO