Dakwaan Insiden Lahad Datu Sebagai Sandiwara Kenyataan Biadap: PPNS

 


KOTA KINABALU: Kepimpinan Persatuan Perwira Negeri Sabah (PPNS) kesal dengan kenyataan dikeluarkan bekas Menteri Pelancongan, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mendakwa bahawa insiden Lahad Datu hanya sebagai sandiwara.

Presiden PPNS Lt Muda Maritim (B) Awil Kamsari berkata semua ahli persatuan dan seluruh warga perwira pejuang negara memandang kenyataan dilemparkan kepada pasukan keselamatan itu sangat biadap. 

Katanya seluruh pasukan keselamatan khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetahui situasi sebenar peristiwa yang berlaku pada tahun 2013 tersebut.

“Tuduhan beliau bahawa peristiwa tersebut sebagai sandiwara adalah satu kenyataan biadab serta penghinaan kepada seluruh pasukan keselamatan negara khususnya kepada 12 keluarga anggota yang terkorban. 

“Jelas mencerminkan bahawa pemimpin politik terbabit tidak memahami serta memandang rendah pengorbanan anggota keselamatan kepada negara,” katanya.

Menurutnya ahli politik terbabit juga sama sekali tidak sedar bahawa setiap anggota keselamatan bertarung nyawa untuk mempertahankan kedaulatan tanah Sabah dan bumi Malaysia ini daripada serangan pengganas.

Katanya PPNS mendesak tindakan tegas dan sekerasnya diambil terhadap individu terbabit bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang di masa akan datang.


  • Disiarkan pada:

    Terbaru Lebih lama