Penunggang motosikal maut rempuh sebelum diseret lori

Grafik Hiasan


TUARAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah lori di Jalan Marabahai- Serusup di sini.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata kejadian jam 10.50 pagi membabitkan sebuah lori dipandu lelaki berumur 60 tahun dan motosikal dinaiki mangsa berumur 17 tahun.

“Kejadian berlaku apabila kedua-dua mereka memandu dari arah Tuaran dan sebaik berada di Bulatan Kuda di Gayang pemandu lori membuat pusingan U di penghujung pembahagi jalan untuk membelok ke kanan menghala ke Tenghilan.

“Ketika itu penunggang motosikal sedang berada di susur masuk arah ke Bulatan Kuda menyebabkan motosikal mangsa tidak sempat mengelak dan merempuh bahagian bawah sebelum diseret di bawah lori terbabit,” katanya.

Menurutnya impak kemalangan terbabit menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Tuaran.

Tambahnya pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kedua-dua kenderaan dibawa ke IPD Tuaran untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-Vivi Olviana Najurus


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama