
Bantuan Covid-19 Kerajaan Negeri Sabah, Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan Adun melompat parti antara isu yang dijangka hangat dimainkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.
Pengagihan bantuan Covid-19 oleh Kerajaan Negeri Sabah bakal menghantui kempen Warisan dan PH yang diketuai Datuk Seri Panglima Shafie Apdal apabila ramai penerima bantuan yang layak mendakwa belum menerima bantuan yang diumumkan. Gambar screenshot bantuan yang dikatakan masih dalam proses pembayaran sehingga ke hari ini disebarkan secara meluas di media sosial.
Selain itu, masalah kebanjiran PATI di Sabah seperti tiada jalan penyelesaiannya. Sebaliknya, Kerajaan Negeri Warisan dan PH pada ketika itu pula cuba memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) yang didakwa menguntungkan pendatang asing. Walaupun PSS tidak diteruskan, persepsi mesra PATI tersebut masih segar di kalangan rakyat Sabah.
Bagi yang mengikuti situasi semasa politik, Warisan sudah tentunya memanfaatkan isu lompat parti di kalangan wakil rakyat yang beralih sokongan ke Kem Tan Sri Musa Aman. Gelaran "Katak" diulang-ulang dalam sidang media pemimpin Warisan dan PH. Persepsi yang dimainkan sudah tentu memberi kelebihan politik kepada Kem Shafie dan bagi pihak lawan pula, meletakkan bekas adun yang sama sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri kelak dilihat sebagai satu risiko yang tinggi.
Senario kempen pasti berubah sejajar dengan perkembangan semasa, isu-isu tempatan dan nasional pasti digunakan sebaiknya oleh kedua-dua pihak. Selain daripada tiga isu dinyatakan di atas, isu-isu lain sudah tentu akan dijadikan bahan kempen seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kes rasuah pemimpin, kronisme dan nepotisme seperti lantikan ahli keluarga dan saudara dalam pentadbiran kerajaan, pembangunan, ekonomi pasca Covid-19 dan konflik dalam kerjasama di kalangan parti.
Melihat kepada perkembangan semasa, sama ada di Kem Shafie ataupun Kem Musa, kedua-duanya mempunyai peluang yang sama untuk memenangi PRN Sabah. Terpulang kepada rakyat untuk menilai dan menentukan siapa yang layak memimpin Negeri Sabah.