![]() |
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin |
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, Hamzah juga adalah dalang di sebalik kumpulan yang memberikan tekanan kepada Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bagi membolehan perancangan Tan Sri Musa Aman menggulingkan Kerajaan Sabah berjaya.
“Selaku pemerintah halang dia masuk ke Sabah kerana selain fitnah dan pembohongan, beliau cuba mencetuskan ketegangan kaum di Sabah. Tidak cukup dengan itu, dia di antara orang yang cuba memberi tekanan kepada TYT, dia juga perancang yang cuba mewujudkan kerajaan tebuk atap di Sabah.
“Saya mohon Ketua Menteri halang dia daripada memasuki Sabah sebagai pengajaran kepada pemimpin dari Malaya yang cuba membawa politik perkauman di Sabah, selain itu beliau bersifat munafik kerana waktu lawatan pertamanya dia sebut IMM13, dalam Parlimen dia buat pusingan U,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kelmarin, Hamzah ketika penggulungan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat menuduh Warisan mempunyai peranan dalam mengeluarkan dokumen terutama IMM13.
Berikutan tuduhan itu, hari ini, Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong telah diarahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat menulis usul secara rasmi terhadap tuduhan Hamzah yang mengelirukan dewan dan boleh dihadapkan kepada Jawatankuasa Parlimen.
Ketika membangkitkan perkara itu, Vui Keong berkata, Kerajaan Sabah pimpinan Warisan tidak pernah sama sekali mengeluarkan apa-apa jenis dokumen sama ada Kad Burung-Burung, Sijil Banci atau IMM13, sebaliknya kesemua dokumen itu dikeluarkan ozaman kerajaan PBS, Berjaya, USNO dan Barisan Nasional (BN).
Sementara itu, Mohd. Azis berkata, sebagai bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, satu-satunya dokumen yang dirancang untuk dikeluarkan bagi menggantikan Kad Burung-burung, Sijil Banci dan IMM13 ialah Pas Sementara Sabah (PSS).
Katanya, cadangan itu diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika masih menjawat Menteri Dalam Negeri, tetapi telah dibatalkan atas arahan daripada Ketua Menteri Sabah.
“Hanya PSS yang dicadangkan itupun tidak diteruskan oleh kerajaan terdahulu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jawab di Parlimen dan Kerajaan Sabah putuskan untuk tidak teruskan.
“Maka saya cabar Hamzah nyatakan apa dokumen yang dia sebut kononnya Warisan ingin bagi, kuasa memberi dokumen terletak pada KDN melalui Jabatan Imegresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Dokumen Burung-burung wujud sejak zaman PBS dan UMNO memerintah Sabah,” tegas Mohd. Azis. - Borneo Today