Denda RM200,000 berserta penjara Setahun kerana miliki 20 telur penyu tanpa permit


KOTA KINABALU: Seorang lelaki dipenjara setahun dan didenda RM200,000 atau dua tahun penjara kerana memiliki 20 biji telur penyu tanpa permit.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu kepada Alsirad Samad, 21, selepas dia mengaku bersalah pada Jumaat.

Alsirad didapati memiliki telur Penyu Hijau (Chelonia Mydas) yang dilindungi dan disenaraikan di bawah Bahagian 1 Jadual 1 Enakmen Pemeliharan Hidupan Liar 1997, tanpa permit. 

Dia melakukan kesalahan itu pada jam 11.15 pagi pada 26 Jun tahun ini, di dalam keretanya yang diletak di belakang Pasaraya Survey di Putatan.

Kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 itu memperuntukkan denda di antara RM50,000 dan RM250,000 atau penjara di antara setahun dan lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa mitigasi, Alsirad yang tidak diwakili, meminta hukuman ringan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Abdul Karim Dakog dari Jabatan Hidupan Liar menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat atas sebab penalti untuk kesalahan seperti itu telah ditingkatkan yang menunjukkan bahawa ia adalah satu kesalahan serius. 

Tambahnya satu hukuman berat bukan sahaja akan memberi pengajaran kepada Alsirad tetapi juga menghalang orang ramai daripada melakukan kesalahan sama.

Mahkamah memerintahkan Alsirad menjalani hukuman itu dari tarikh tangkapannya pada 26 Jun.

Mahkamah mendengar bahawa satu pasukan penguatkuasaan dari Jabatan Hidupan Liar memeriksa kereta Alsirad susulan maklumat mengenai telur penyu itu.

Semasa pemeriksaan, pasukan itu menemui 20 telur penyu di dalam kereta Alsirad.

Alsirad ditangkap kerana dia tidak mempunyai lesen sah untuk memiliki telur penyu itu.

Dia dibawa ke pejabat Hidupan Liar untuk siasatan lanjut.-Harian Ekspres

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama