BERIKUTAN pelbagai aduan daripada PUI dan ahli keluarga yang disebarkan melalui media sosial mengenai keadaan Pusat Kuarantin di Negeri Sabah, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi dalam kenyataan medianya, 18/05/2020, menjelaskan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah mengambil maklum akan perkara tersebut.
"Semua pihak yang terlibat dalam pengurusan di Pusat Kuarantin mengambil maklum mengenai aduan-aduan ini dan berusaha membuat penambahbaikan" jelas beliau.
Walaubagaimanapun, beliau mengingatkan untuk tidak menyamakan Pusat Kuarantin dengan rumah sendiri atau hotel.
"Pihak JKNS ingin mengingatkan semua yang terkesan bahawa Pusat Kuarantin yang ada di Seluruh Negeri Sabah bukanlah dibina khas sebagai Puat Kuarantin dan tidak sepatutnya disamakan dengan rumah sendiri atau hotel."
"Kebanyakan Pusat Kuarantin merupakan asrama sekolah, tempat tinggal guru pelatih, rumah rehat kerajaan atau rumah PPR. Tempat-tempat tersebut merupakan kediaman orang sebelum dijadikan Pusat Kuarantin semasa wabak Covid-19". Tambahnya lagi.
Christina juga turut menjelaskan bahawa wabak Covid-19 adalah suatu krisis yang tidak diduga dan berharap agar semua Individu Dalam Siasatan (PUI) yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dapat melihat gambaran yang lebih besar dan sentiasa berfikiran positif.
Setakat 18 Mei 2020, seramai 2,788 PUI sedang menjalani kuarantin di 44 buah Pusat Kuarantin di seluruh Negeri Sabah dan seramai 8,032 orang sedang menjalani perintah kuarantin di rumah.