JIM Sabah hantar pulang 166 PATI warga Filipina

LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 166 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan Asing yang dilaksanakan melalui Pelabuhan Lahad Datu, semalam.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua tahanan berkenaan dipindahkan menggunakan feri komersial dari Pelabuhan Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina.

Menurutnya, kumpulan itu terdiri daripada 143 lelaki dewasa, enam wanita dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 66 tahun.

“Kanak-kanak yang mengikuti program pemindahan ini turut diiringi oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing.

“Kesemua tahanan yang dihantar pulang telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki dokumen perjalanan sah yang melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua tahanan itu sebelum ini ditempatkan di Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Sandakan.

Dalam perkembangan sama, Sitti Saleha berkata, JIM Sabah turut melaksanakan program penghantaran pulang PATI melalui udara pada 16 Jun lalu melibatkan warga Filipina dan China.

Katanya, seramai 11 warga Filipina yang ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu dihantar pulang ke Manila menerusi penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

“Daripada jumlah itu, sembilan adalah lelaki dewasa dan dua wanita dewasa.

“Pada tarikh yang sama, seramai sembilan warga China yang ditahan di Depot Imigresen Tawau turut dihantar pulang ke negara asal menerusi penerbangan terus dari Lapangan Terbang Tawau ke Guangzhou,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan warga China itu terdiri daripada tujuh lelaki dewasa dan dua wanita dewasa.

Menurutnya, sehingga kini seramai 2,428 tahanan PATI warga Filipina dan 70 warga China daripada keseluruhan 3,625 tahanan warga asing telah berjaya dipindahkan ke negara asal masing-masing.

Sitti Saleha berkata, JIM Sabah akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap individu atau majikan yang menggaji dan melindungi warga asing tanpa dokumen perjalanan yang sah.

“Jabatan ini tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen.

“Majikan yang didapati melindungi PATI boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!