Warga emas kantoi simpan ketum dalam guni

 

TAWAU: Tindakan seorang warga emas menyembunyikan daun ketum di dalam guni di rumahnya di Kampung Kinabutan Besar Batu 5, Jalan Apas, di sini, terbongkar selepas diserbu polis, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 2.30 petang itu, lelaki tempatan berusia 64 tahun terbabit ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau hasil risikan dijalankan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan di bahagian dapur rumah suspek menemukan sekarung guni mengandungi daun ketum seberat 5,572.29 gram.

Menurutnya, polis turut merampas empat botol berisi cecair hijau disyaki air ketum berjumlah 10.5 liter.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM510.10.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku mendapatkan bekalan daun ketum daripada seorang lelaki yang dikenalinya melalui aplikasi Facebook dengan harga RM70 sekilogram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama