Program Hari Ibu Bapa Parlimen Kota Kinabalu meriahkan komuniti, sokong usahawan tempatan


KOTA KINABALU: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Kinabalu dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah akan melaksanakan Program Hari Ibu Bapa Parlimen Kota Kinabalu 2026 Bersama Jualan Agro MADANI yang akan berlangsung di Taman Ujana Rimba Tropika, di sini, pada 24 Mei ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Ahli Perlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin berkata, program anjuran bersama itu dijadual berlangsung bermula jam 6.30 pagi hingga 2 petang dengan pelbagai pengisian menarik untuk seluruh lapisan masyarakat.

“Antara aktiviti yang bakal diadakan termasuk promosi hasil segar tempatan, jualan produk industri asas tani, aktiviti komuniti, persembahan pentas, pertandingan, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti kekeluargaan yang sesuai untuk semua peringkat umur.

“Sebagai penghargaan kepada pengunjung, sebanyak 100 pek telur ayam percuma akan diberikan kepada 100 pengunjung terawal.

“Pelbagai hadiah dan doorgift khas turut disediakan khusus buat ibu bapa sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka kepada keluarga serta masyarakat berdasarkan konsep ‘first come, first serve’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Menurut beliau, penganjuran program itu juga bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memperkukuhkan semangat komuniti dalam kalangan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, program berkenaan turut menjadi platform menyokong pembangunan usahawan serta mempromosikan produk tempatan Sabah menerusi platform Jualan Agro MADANI.

“Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan berkenaan dalam suasana komuniti yang harmoni dan mesra keluarga,” tambah beliau.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama