Penubuhan majlis penasihat antara fokus reformasi kesihatan Sabah - Julita

KOTA KINABALU: Penubuhan sebuah majlis penasihat kesihatan negeri antara fokus utama yang sedang diperhalusi kerajaan Sabah dalam usaha memperkukuh reformasi sektor kesihatan di negeri ini.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, cadangan itu dibincangkan bersama beberapa pembaharuan lain termasuk pindaan Ordinan Kesihatan Awam (PHO) dan penerimaan Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 (Akta 371).

Menurutnya, langkah berkenaan penting bagi memperkukuh tadbir urus kesihatan negeri selain memastikan sistem kesihatan Sabah lebih bersedia menghadapi cabaran semasa.

Katanya, cadangan itu menjadi antara fokus bengkel Kesihatan anjuran Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkepentingan dalam sektor kesihatan. 

“Bengkel ini diadakan bagi mendapatkan pandangan menyeluruh daripada semua pihak sebelum sebarang cadangan dibawa ke peringkat Kabinet Negeri dan platform berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita bukan mahu mengambil alih tugas sesiapa, tetapi mahu memastikan perkara yang masih perlu diperbaiki dapat dilaksanakan bersama sebagai satu pasukan.

“Pandangan yang dikumpulkan hari ini akan diperhalusi sebelum dibawa ke peringkat pembuat dasar termasuk Kabinet Negeri dan jawatankuasa berkaitan,” katanya ketika merasmikan bengkel itu di The Magellan Sutera Resort, di sini, pada Rabu. 

Antara perkara yang dibincangkan termasuk status pindaan PHO, penerimaan Akta 371 di Sabah serta cadangan mewujudkan Majlis atau Jawatankuasa Khas Kesihatan Negeri Sabah.

Julita berkata, Sabah juga perlu melihat keperluan memperkukuh beberapa aspek perundangan kesihatan awam termasuk isu fluoridasi dan pengurusan pembentungan yang mempunyai implikasi langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Beliau turut memaklumkan beberapa cadangan berkaitan PHO dijangka dibawa untuk perbincangan lanjut bersama kementerian serta jawatankuasa teknikal MA63 dalam masa terdekat sebelum dimuktamadkan di peringkat lebih tinggi.

“Kalau kita perlu pergi ke Kabinet, kita pergi ke Kabinet. Kalau perlu ke Dewan Undangan Negeri untuk meluluskan enakmen tertentu, kita akan lakukan demi kepentingan Sabah,” jelasnya. 

Bengkel itu turut disertai Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Persatuan Farmaseutikal Sabah (SPS), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR), Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah serta wakil sektor kesihatan lain.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama