Lelaki alami gangguan emosi dipujuk turun dari menara telekomunikasi


KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dipercayai mengalami gangguan emosi berjaya diselamatkan selepas berada di tingkat dua sebuah menara telekomunikasi di Taman Nikmat, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.37 pagi itu, mangsa berjaya dipujuk turun oleh pasukan bomba bersama polis selepas hampir tiga jam operasi dijalankan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum sepasukan 12 anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira enam minit kemudian selepas bergerak sejauh empat kilometer.

“Komander Operasi melaporkan terdapat seorang mangsa berada di tingkat dua menara telekomunikasi dan dipercayai mengalami gangguan emosi serta kurang siuman.

“Pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan usaha memujuk mangsa bagi memastikan keadaan terkawal dan mangsa dapat diselamatkan dengan selamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan, pasukan bomba turut memasang jaring keselamatan di lokasi kejadian.

“Mangsa akhirnya berjaya dibawa turun dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.50 tengah hari,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama