KOTA KINABALU: Keputusan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membawa parti itu keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan sebagai tindakan tidak bijak, tergesa-gesa dan berisiko menjejaskan masa depan parti.
Ketua Penerangan USNO merangkap Timbalan Ketua Pemuda GRS, Iskandar Zulkarnain Ramli berkata, langkah tersebut bukan sahaja tidak memberi kelebihan kepada parti, malah boleh melemahkan lagi kedudukan USNO yang ketika ini tidak mempunyai kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, tindakan meninggalkan kerajaan tanpa hala tuju pembangkang yang jelas hanya akan menjauhkan USNO daripada peluang untuk membantu rakyat serta membina semula kekuatan politiknya.
“Dalam keadaan semasa, kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor menunjukkan rekod kestabilan dan pencapaian yang lebih baik berbanding beberapa pentadbiran terdahulu.
“Justeru, tiada keperluan munasabah untuk USNO keluar daripada GRS hanya kerana keputusan politik yang bersifat peribadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan tersebut bukanlah dibuat secara sebulat suara, sebaliknya majoriti kepimpinan parti dilihat tidak bersetuju dengan hala tuju yang dibawa Presiden.
Katanya, kehadiran 19 daripada 26 Ketua Bahagian bersama majoriti Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dalam sidang media sebelum ini menjadi bukti jelas bahawa sokongan terhadap Pandikar semakin terhakis.
“Ini bukan sekadar perbezaan pandangan biasa, tetapi satu isyarat jelas bahawa beliau telah kehilangan keyakinan dalam kalangan pimpinan parti sendiri,” katanya.
Beliau berkata, keputusan besar itu juga didakwa tidak melalui perbincangan menyeluruh termasuk melibatkan sayap utama parti seperti Kaum Ibu dan Kumpulan Generasi Baru (KGB).
Sehubungan itu, Iskandar berpandangan bahawa USNO memerlukan pendekatan kepimpinan yang lebih matang, demokratik dan inklusif bagi memastikan suara akar umbi terus didengar.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar Tan Sri Pandikar Amin Mulia mempertimbangkan untuk melepaskan jawatan Presiden secara terhormat demi memberi ruang kepada pembaharuan kepimpinan parti.
“Peralihan kepimpinan bukan satu penghinaan, sebaliknya langkah penting dalam memastikan parti terus relevan dan diyakini ahli.
"USNO tidak seharusnya terus dipimpin berdasarkan keputusan unilateral, sebaliknya perlu kembali mengangkat suara akar umbi dalam menentukan hala tuju masa depan parti," katanya
